Thursday, February 24, 2011

JUMAAT: KELEBIHAN & KERUGIAN


1) Orang-orang yang meninggal dunia pada hari Jumaat akan mendapat rahmat dan aman daripada segala azab kubur, perkara ini telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW yang maksudnya: "Sesiapa yang meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat, dia akan dicop dengan cop iman dan terpelihara daripada siksa kubur." (HR Al-Baihaqi)

2) Rasulullah SAW juga mengkhabarkan bahawa ganjaran pahala yang besar kepada orang-orang yang pergi berjemaah ke masjid termasuk untuk menunaikan sembahyang Jumaat melalui sabda Baginda yang maksudnya: "Apabila seseorang berwuduk lalu dia memperelokkan wuduknya kemudian dia keluar (pergi) ke masjid, dia tidak keluar kecuali untuk menunaikan sembahyang, tidak dia melangkah satu langkah kecuali ditinggikan satu darjat baginya dan dihapuskan baginya satu kesalahan, apabila dia bersembahyang Malaikat sentiasa memohonkan rahmat ke atasnya selama mana dia masih di tempat sembahyang dan belum berhadas, Malaikat memohonkan: Wahai Allah berilah rahmat ke atasnya, wahai Allah sayangilah dia!" (HR Al-Bukhari)

Dalam hadis ini mengandungi beberapa perkara yang penting. Pertama ganjaran pahala yang besar akan diperolehi oleh orang-orang yang pergi berjemaah di masjid dengan sedia berwuduk lalu pergi ke masjid untuk bersembahyang. Maka setiap langkahnya akan dikira sebagai penghapus dosa-dosanya dan menaikkan darjatnya. Para Malaikat juga sentiasa memohonkan keampunan dan rahmat kepada orang-orang sedemikian. Kedua, orang yang berwuduk di rumah itu menggambarkan bahawa mereka sentiasa menjaga ketepatan waktu sembahyang serta dalam keadaan suci kerana telah bersedia lebih awal lagi. Oleh yang demikian hari Jumaat adalah hari yang mengandungi banyak kelebihan dan kebesaran yang diberikan oleh Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW.

HADIR JUMAAT LEBIH AWAL
Sesungguhnya kita dituntut agar menepati waktu sembahyang dan dilarang melengahkannya. Ini kerana bukan sahaja menepati waktu sembahyang itu merupakan tuntutan agama malahan orang yang menepati waktu sembahyang itu akan mendapat ganjaran yang besar. Hal ini disabdakan oleh Rasulullah SAW yang maksudnya: "Orang-orang yang bersembahyang pada waktunya dan menyempurnakan wuduknya, menyempurnakan (tegak) berdirinya, menyempurnakan khusyu'nya, rukuknya dan sujudnya, maka sembahyang itupun naik (ke langit) dalam keadaan putih dan cemerlang. Sembahyang itupun berkata: "Semoga Allah menjaga dirimu sebagaimana engkau menjaga aku (memperelokkan kelakuan sembahyang itu)". Tetapi sesiapa yang bersembahyang tidak dalam waktunya yang ditentukan dan tidak pula memperelokkan wuduknya, khusyu'nya, rukuknya dan sujudnya, maka sembahyang itupun naik (ke langit) dalam keadaan hitam legam sambil berkata: "Semoga Allah mensia-siakan dirimu sebagaimana engkau mensia-siakan aku". Sehinggakan setelah sembahyang itu berada di suatu tempat sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah, lalu iapun dilipatkan sebagaimana dilipatnya baju yang koyak-koyak kemudian dipukulkanlah ke mukanya." (HR At-Thabrani)

Oleh itu berusahalah untuk datang awal ke masjid pada hari Jumaat itu dan ketika dalam perjalanan menuju ke Masjid hendaklah dengan khusyu' dan merendah diri. Apabila sampai di masjid, jangan lupa berniat iktikaf ketika hendak masuk ke masjid. Dengan datang awal itu juga kita berkesempatan melakukan perkara-perkara sunat yang lain seperti sembahyang sunat Tahiyyat al-Masjid, membaca Al-Quran, beristighfar, berzikir dan berdoa, kerana pada hari Jumaat itu mempunyai kelebihan dan kebesaran yang banyak dan ganjaran yang berlipat ganda.

Sabda Rasulullah SAW: "Apabila datang hari Jumaat, maka setiap pintu masjid ada Malaikat yang mencatat orang-orang yang masuk mengikut urutannya. Apabila imam telah duduk (di atas mimbar), para Malaikat menutup buku catatan mereka dan datang untuk mendengarkan zikir (khutbah). Perumpamaan orang yang hadir ke masjid lebih awal adalah bagaikan orang yang menyembelih hadyi (korban) seekor unta, kemudian seperti menyembelih seekor sapi, kemudian seperti menyembelih seekor kambing, kemudian seperti menyembelih seekor ayam, kemudian seperti orang yang memberikan sedekah sebiji telur." (HR Muslim)

Berdasarkan hadis-hadis di atas, jelaslah kepada kita bahawa orang yang menghadirkan diri ke masjid lebih awal pada hari Jumaat adalah sangat dituntut dan mempunyai ganjaran dan balasan yang besar. Sembahyang tepat pada waktunya juga dianggap sebagai memelihara sembahyang kerana jika dilengahkan waktu sembahyang tersebut, kemungkinan akan tertinggal atau terlepas waktu yang ditentukan itu. Malah Allah SWT juga telah menjelaskan bahawa antara sifat-sifat orang yang mendapat kebahagiaan itu ialah orang-orang yang tetap mengerjakan sembahyang pada waktunya dengan cara yang sempurna. FirmanNya: "Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya." (QS Al-Mukminun:9)

Kesimpulannya, sembahyang dengan khusyu' dan tawadhuk serta menjaga dan memelihara waktu adalah satu kewajipan. Maka adalah disunatkan kepada orang yang wajib atasnya sembahyang Jumaat supaya menghadirkan diri lebih awal ke masjid bagi mengelak daripada terlepas pahala atau fadhilat datang awal ke masjid seperti mana maksud hadis di atas. Lambat hadir yang mendatangkan kerugian itu termasuklah hadir setelah imam naik ke atas mimbar untuk membaca khutbah sebagaimana telah diceritakan dalam hadis di atas.
.
Ini bererti para Malaikat yang khusus bertugas mencatat kelebihan hadir awal ke masjid pada hari Jumaat itu menghentikan catatannya kerana hendak sama-sama mendengar khutbah. Orang yang sedemikian hanya akan tersenarai dalam orang-orang yang hadir Jumaat sahaja, tetapi tidak tersenarai dari orang-orang yang mendapat kelebihan yang seolah-olah berkorban seekor unta atau sapi seperti yang disebut dalam hadis di atas. Ulama Syafie juga sepakat mengatakan bahawa sunat (mustahab) menghadirkan diri lebih awal ke masjid pada hari Jumaat.

No comments:

Post a Comment